- MaU pElUk DiA -

May 28, 2011

Jam kat dinding tu dah tujuk pukul 3.45 pagi, tapi mata saya masih segar. Kalau menulis novel, tentu berbaloi-baloi. Tapi soalnya, mood menulis novel saat ni tak ada, yang ada cuma mood menulis n3 kat blog ni. Kalaulah saya jenis boleh paksa mood menulis, alangkah bertuahnya hidup ni kan? Malangnya… soal mood memang bukan ada dalam kawalan saya. Ia datang dan pergi, begitu-begitu aje. Kadang macam ribut taufan, kadang pula macam siput sedut. Pendek kata, mood menulis seorang ALEYA ANEESA memang sukar nak dijangka.

Okey… saya tinggalkan mukadimah tu sebab bukan itu pun yang nak saya kisahkan pagi ni. Yang saya nak kisahkan adalah tentang perasaan saya. Tentang perasaan? Oh… kedengarannya ALEYA ANEESA sangat jiwang karat kan? Tak sesuai kan? Sangat tak sesuai, ya tak? Tapi kawan-kawan, jangan salah sangka dulu ya! Perasaan yang saya maksudkan bukan perasaan saya pada seorang lelaki yang tak ada hubungan darah dengan saya. Tidak sama sekali!

Sebenarnya, malam semalam yang baru aje beberapa jam berlalu macam biasa saya berborak dengan mak kat telefon. Ya… rutin saya sejak jadi warga KL, saya dan mak akan bercakap di telefon seminggu sekali. Sekali aje? Anak jenis apa saya ni kan? Pasti ada yang bercakap macam tu dalam hati, mungkin! Tapi sekali tu menyamai dengan 10 hari sebab sekali kami bercakap, selagi telefon tak panas selagi tulah kami tak berhenti bercakap, kadang sampai habis bateri. Macam-macam yang saya dan mak borakkan. Kejap pasal abah, kejap pasal adik-beradik saya, kejap pasal ipar-ipar saya dan akhir sekali tentu sekali pasal anak-anak buah saya yang selalu melekat dalam kepala saya yang lebih kecil daripada bola sepak ni. Sambil tu, ada jugalah bercerita pasal orang-orang yang ada kaitan dengan hidup kami.

Dalam perbualan semalam, lepas habis bercerita pasal keluarga saya, mak ceritakan tentang seseorang yang ada hubungan darah dengan saya [bukan mengumpat ya sebab tak ada benda yang nak diumpatkan]. Hanya hubungan darah tu gagal membuatkan hubungan kami jadi serapat isi dan kuku. Bukanlah bermakna kami bergaduh, tidak! Kami masih bertegur sapa dan saling tersenyum sesama sendiri. Cuma tak rapat dan bertemu muka pun hanya sesekali walaupun tinggal sekampung. Entah ya, saya sendiri gagal mencari punca ketidakrapatan kami.

Ketika mak bercerita tentang dia, saya tiba-tiba aje terasa nak memeluk abah saya. Terasa betapa bersyukur dapat insan bernama WAHAB sebagai bapa saya, bukannya orang lain. Abah saya bukanlah insan istimewa. Hanya biasa-biasa aje. Belajar tak tinggi, kerja pun nelayan. Tapi…

Insan yang biasa-biasa tu tak pernah pukul saya, mungkin juga ada, hanya saya tak ingat, jadi saya anggap tak ada.

Insan yang biasa-biasa tu tak pernah tidur lena bila ada antara anak-anak dia masih kat luar rumah [kalau anak dia ada atau balik kampung] bila jarum jam melebihi angka 10.00 malam, walaupun yang di luar tu sudah berumur berpuluh-puluh tahun dan dah kahwin pun, bukan belasan tahun. Dia akan keluar masuk bilik. Sekejap dia akan tanya, "Aled tak balik lagi?" atau "Sam dah balik?". Lepas tu dia kembali masuk balik, sambung tidur balik. Tak lama lepas tu dia akan keluar lagi, bertanya lag. Kadang-kadang kalau dah lewat sangat, dia akan suruh mak saya telefon. Kalau yang ditunggu dah balik, barulah dia terus tidur.

Insan yang biasa-biasa tu selalu bertanyakan saya bila saya tak balik kampung lebih daripada 3 minggu.

Insan yang biasa-biasa tu, satu masa dulu selalu aje muncul di muka pintu [balik dari kedai kopi] dengan bungkusan di tangan. Katanya, “Kata Mat… kalau Wahab beli aje kuih, orang lain mesti tak dapat makan”. Dulu saya tak faham dengan cerita abah tu, tapi lama-lama saya mula mengerti. Memang kalau abah beli karipap atau pulut panggang atau apa aje kuih yang ada, abah bukannya belikan kami seorang satu, tapi seorang dua ataupun lebih. Kalau seorang dapat dua, anak abah ada enam. Maknanya, untuk anak-anak aje dah 12, belum campur dengan mak saya lagi. Hem… memang patutlah kawan abah cakap macam tu. Kenapa tak buat sendiri kan? Mak saya dari dulu memang tak suka buat kuih-kuih ni, yang dia suka masak jemput-jemput ikan bilis atau pisang sebab kami adik-beradik gila sangat dengan jemput-jemput. Kalau boleh hari-hari nak makan sampai orang kedai cakap, nanti perut kami adik-beradik gendut macam perut pelakon Tamil. Pelakon dulu ya, pelakon Tamil sekarang semuanya kurus macam lidi. Cantik lagi!

Insan yang biasa-biasa tu, demi besarkan kami adik-beradik pernah satu masa dulu turun naik laut berkali-kali dalam satu hari. Tak pernah merungut, tapi sangat bimbang bila menjelang hujung tahun sebab biasanya hujung tahun, hujan tak henti-henti. Kalau dah hujan macam mana nak ke laut? Sedangkan… habis aje tahun bermakna sekolah akan dibuka dan itu bermakna duit.

Insan yang biasa-biasa tu, sangat jarang atau sejak saya belajar dulu, hanya bercakap di telefon dengan saya tak lebih daripada 5 kali dengan patah perkataan tak lebih daripada 8, agaknya. Dia memang tak reti bercakap di telefon. Di luar pun dia tak berapa banyak cakap, tak macam saya yang macam murai tercabut ekor. Tapi… dia selalu duduk di sebelah mak saya bila kami berbual-bual di telefon. Kadang-kadang, masa saya tengah bercakap dengan mak saya, dia tanya; “Tak ada kirim salam hari ni?” Lepas tu mak saya jawab, “Belum habis cakap lagi.” Sebabnya… memang saya akan kirim salam pada dia di akhir perbualan saya dengan mak saya.

Insan yang biasa-biasa tu, pernah kata, “Abah tak nak anak-anak abah jadi nelayan!” Pun, dulu saya tak tahu kenapa abah cakap macam tu. Kalau abah boleh besarkan kami, kenapa pulak kami tak boleh jadi nelayan kan? Rupa-rupanya, abah tak nak anak dia jadi nelayan sebab kerja nelayan bukan aje pendapatan tak menentu, tak ada duit tua tapi kerjanya teruk. Abah tak nak tapak tangan anak-anak dia kasar dan keras macam tangan dia. Dia tak cakap, tapi dia tunjuk aje tapak tangan dia bila kadang-kadang saya cakap jadi nelayan pun boleh makan juga.

Saat ni, saat jarum jam tunjukan angka 4.15 pagi… saya hanya boleh panggil abah saya dalam hati. Syukur… dia yang jadi abah saya. Dia… di mata saya langsung tak ada kurang sebab semua kekurangan dia dah ditutup dengan kasih sayang yang dia berikan pada kami, anak-anaknya. Ya ALLAH… pelihara abahku, pelihara makku. Sungguh… Ami sayang abah, Ami sayang mak. Sayang gila!

Dan untuk dia yang mak saya kisahkan, walau tak rapat mana pun, saya tetap mendoakan dia cepat sembuh. Saya ingat saya tak peduli langsung sebab selama ni memang tak ada rasa, mungkin dia pun tak tau nama saya dan adik-beradik saya agaknya, tapi hari ni mata saya bergenang juga dengan air kerana sedih dengan nasib dia. Tak ada apa yang dapat saya beri kecuali doa dan apa yang terdaya saya beri. Untuk yang dekat di sisi dia, tolonglah… tolong pandang dia selagi dia ada kat depan mata…

- ReViEw KASIH BENAR KASIH dArIpAdA aNiTa -

May 27, 2011


Tajuk: Kasih Benar Kasih
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit: Alaf21 (2011)
496 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24(SS)

Benarlah kata orang, kalau sudah kasih, sehebat manapun hati dicalar tetap tidak berbekas kerana sudah diganti sayang.

Saat saya memulakan bacaan, saya sudah dapat mengagak bahawa saya akan suka novel ini. Memang tidak salah jangkaan saya kerana setelah selesai, saya dapat simpulkan yang Kasih Benar Kasih merupakan antara novel pilihan terbaik hati saya.

Sejak dari awal pembacaan, hati saya sentiasa memainkan pelbagai rentak. Ada kalanya saya tersenyum sendiri, ada masanya hati tersipu malu, kerap kali juga hati bagai diketuk bertalu-talu, dan kadangkala sarat dengan emosi yang hampir membuatkan saya menitis air mata.Apa yang pasti dipenghujungnya saya masih mengurut dada tanda lega, terukir senyum bahagia.

Memang cerita begini, cerita biasa tetapi cara penulis menyampaikannya menjadikan novel ini begitu istimewa bagi saya. Belum berkahwin dalam usia yang lewat bagi seorang wanita memang tidak pernah lari dari pandangan dan kata-kata orang di sekeliling. Seolah-olah kalau lambat berkahwin itu satu dosa dan yang telah berkahwin itu seolah-olah telah mendapat bonus sepanjang hayat. Namun bagi saya, cepat atau lambatnya jodoh seseorang itu bukan kita yang menentukan.

Pada usia 29 tahun Annura belum berteman. Begitu juga dengan Dinzley yang sudah menginjak usia yang sepatutnya mendirikan rumahtangga, namun masih sendiri. Lantas kedua-dua ibu bapa mereka sepakat membuka jalan untuk mereka berdua berkenalan. Tidak memaksa kata mereka tetapi cukup sekadar mereka ingin mencuba, kalau tidak serasi boleh saja mengundur diri. Disebabkan masing-masing tidak ingin menguris luka hati orang tua, maka mereka mencuba mencari keserasian yang begitu sukar hadir antara mereka. Walau kedua ibu bapa mereka tidak memaksa tetapi mereka berdua dapat membaca begitu menggunung sekali harapan orang tua mereka untuk melihat mereka bersatu. Mampukah Annura dan Dinzley mengatakan tidak?

Annura:
Bukan tidak manis malah cukup sempurna serba-serbi sebagai seorang wanita, lemah-lembut tetapi kenapa hatinya seolah-olah telah tertutup untuk seorang yang bernama lelaki? Menyelami tingkah Annura tidak sesukar mana, walau dia dilihat sebagai seorang yang sentiasa mengalah, namun di hadapan Dinzley dia kadang-kala tidak betah dengan usikan-usikan Dinzley yang dia rasakan seorang yang sangat angkuh. Namun di saat hati sudah ada bunga-bunga kasih terhadap Dinzley, dirinya merasakan begitu terhina ketika Dinzley berniat menangguhkan perkahwinan mereka. Bagi Annura, tindakan Dinzley sudah begitu difahaminya, Dinzley tidak ingin berkahwin dengannya.Disaat Dinzley melamarnya, Annura bersetuju menerima. Namun ada niat yang terpendam rupanya, mengapa dia sudi menerima Dinzley sebagai suami walaupun hatinya bagai sudah dihiris-hiris.

Kadang-kala saya sesak nafas bila mengenangkan lebih setahun Annura mencuba membalas dendam dengan menyakiti hati Dinzley. Begitu tega hatinya membawa bersama dendam terhadap seorang suami.Apa akan terjadi andai di waktu dia sedar sudah begitu terlewat untuknya memohon kemaafan dari Dinzley?

Dr. Dinzley:
“Awak ni comel macam arnab sayalah”, Dr Dinzley
Sesiapa saja yang membaca novel ini pasti akan jatuh cinta dengan watak Dinzley. Bagi saya dia mungkin hero yang telah berjaya mengambil tempat Joe Jambul ( dalam Sweet Sour ) di hati saya ( setelah sekian lama bertahta di hati ). Mungkin dari segi paras rupa dia tidak sehebat Joe, namun Dinzley ada semua ciri-ciri yang boleh menawan hati sesiap saja. Seawal pertemuan dengan Annura, Dinzley sudah merasakan begitu berlainan sekali. Lain bukan kerana telah jatuh cinta, tetapi kerana dia terasa bahagia dapat mengusik hati Annura. Entah bila dia pun tidak pasti, nama Annura telah bertahta di hati dan tidak mungkin ditukar ganti walaupun Syirin hadir semula dalam hidupnya. Namun, kerana salah pertimbangan, tanpa disedari dia telah melukai Annura yang dicintainya sehingga menghancur-lumatkan hatinya sendiri.

Betapa saya begitu terharu dengan kesabaran Dinzley melayan karenah Annura yang sengaja menyakiti hatinya. Wujudkah lelaki yang begitu sabar walau berkali-kali hati diuji oleh seorang isteri?Malah segala layanan yang dilayangkan oleh Annura dengan tujuan menyakiti hatinya diterima Dinzley dengan senyuman dan hati yang lapang. Namun sejauh manakah dia boleh bertahan dan bersabar?Mampukah Annura dan Dinzley bertemu bahagia yang begitu liat bertamu?

Banyak lagi yang saya ingin perkatakan kerana hati saya telah jatuh suka dengan novel ini. Namun biarlah bakal pembaca-pembaca novel ini mencari dan menilai sendiri di mana istimewanya novel ini.

*** Terima kasih tak terhingga pada Anita atas komen di atas. Kawan-kawan yang budiman, kamu, kamu & kamu boleh melawat Anita DI SINI sebab ada banyak review novel yang menarik.

- KaSiH bEnAr KaSiH & kAwAn-KaWaNnYa -

May 26, 2011

Wujudnya poster di bawah tu bermakna bulan Jun dah makin menghampiri kita kan kawan-kawan? Hem... bukan lagi cepat masa berlalu, tapi benar-benar sangat cepat. Azam siapa yang dah tercapai? Sila angkat tangan kiri sambil tangan kanan pegang pipi belah kanan juga sebab kalau pegang belah kiri, rasa macam pelik sebab sedikit bersilang dan itu akan menyusahkan. Kemudian, bisikkan kat hati, “Ya ALLAH... syukur! Nikmat dan kurniaan yang KAU berikan takkan terlawan oleh sesiapa dan apa-apa di atas muka bumi ini atau di luar bumi ini. Terima kasih Ya ALLAH”.

Opsss... bagi yang azamnya belum tercapai, jangan mengeluh dulu ya kawan-kawan! Baru setengah tahun, kan masih ada baki lagi setengah tahun? Dalam enam bulan akan datang, macam-macam boleh jadi. Boleh jadi yang tak ada di tangan, akan ada di tangan. Boleh jadi juga yang dah ada di tangan, tiba-tiba saja boleh tak ada lagi di tangan. Makanya kawan-kawan, kamu, kamu dan kamu tak boleh riak ya kalau kamu ketika ini sudah memegang sesuatu di tangan sebab DIA tak suka pada yang riak. Hendaknya... saya juga tak riak dan kalau ditakdirkan saya berubah jadi orang riak, mohon sangat, TOLONG INGATKAN SAYA ya sebab saya pun hanya manusia biasa yang tentu aje tak lepas daripada buat silap. Saya dan silap, bukankah macam isi dan kuku, tak boleh dipisahkan? Bukannya macam enggang dan pipit yang tak boleh duduk dan berdiri sama tinggi.

Hem... tentu ada yang tertanya-tanya, kenapa mesti pegang pipi belah kanan kan? Sebenarnya... saya pun tak ada jawapan yang jelas, hanya terasa nak menyuruh kamu, kamu dan kamu yang tentunya saat ini sedang bergembira kerana azam tercapai bekerja lebih sikit hari ini. Kenapa? Oh... kamu perlu bergerak cergas, kena aktif sedikit macam jari-jemari tak runcing saya saat ini. Merapu kan saya ni? Ya... betul, saya memang suka sangat merapu. Mungkin sebab semalam saya tak ceria atas sebab yang saya sendiri tak pasti, maka hari ini saya terasa hari saya dah kembali bersinar. Pun saya tak pasti apa dan kenapa ia bersinar. Saya aneh ya? Tidak! Sebab saya percaya semua orang di luar sana juga sama seperti saya. Kadang-kadang kita memang tidak tahu ada apa sebenarnya dengan diri kita sendiri. Rasa macam tak ada apa-apa, tapi dalam masa yang sama macam ada apa-apa pula.

Hoho... mungkin ada yang dah berfikir yang bukan-bukan tentang saya hari ini. Tak apa dan tak akan apa-apa. Jangan risau, saya masih okey dan insya-ALLAH akan terus okey selagi ada izin daripada DIA. Yang jelas, hidup di atas muka bumi ini, seringnya kita mengharapkan jadi begini, tapi sering juga yang didatangkan pada kita pula tak seperti yang kita harapkan. Jadinya, mari kita sama-sama reda walau saya akui, ada masa-masanya dugaan yang datang terasa sangat berat untuk dipikul di atas pundak yang kecil dan ada masa-masanya, kaki dua batang ini bagaikan tak mampu untuk meneruskan langkah. Saat dan ketika ini, saya hanya mahu memegang kata-kata; ‘Kalau memang rezeki kita, tetap juga rezeki kita. Kalau bukan rezeki kita, dah sampai ke mulut pun tetap juga bukan rezeki kita’.

Dan Jun... Kasih Benar Kasih dengan rasminya akan ada di pasaran di seluruh Malaysia, insya-ALLAH. Setakat hari ini, banyak juga komen yang dah saya terima. Ada yang suka sangat, suka, suka-suka dan ada juga yang sudah memberikan pendapat tersendiri yang bukan juga bermakna tak suka, atau tak suka langsung. Tak kisah! Kamu, kamu dan kamu sudi membaca sampai ke titik akhir pun bagi saya adalah satu penghargaan tak ternilai. Cumanya, saya hendak katakan yang sebagai penulis, saya tak mahu membandingkan KBK dengan novel-novel saya yang lain sebab bagi saya, setiap novel yang saya hasilkan ada keistimewaan tersendiri. Rasa suka itu sendiri pun bagi setiap orang berbeza-beza kerana perasaan itu sendiri sifatnya sangat aneh.

Untuk yang sudah mendapatkan KBK, sudah membaca KBK atau sudah mendapatkan KBK tapi belum berkesempatan membacanya, terima kasih sebesar dunia. Untuk yang belum mendapatkan KBK dan bakal mendapatkan KBK, selamat membaca dan semoga KBK tak menghampakan kamu, kamu dan kamu.

Salam Kasih Benar Kasih,
-Aleya Aneesa-

- SuNgGuH sAyA tErHaRu! -

May 20, 2011

16 Mei 2011, usia saya meningkat setahun lagi. Syukur kerana saya masih berkesempatan menghirup segarnya udara di bumi ALLAH dan dapat terus berbakti setahun lagi pada mak, abah dan keluarga yang lain. Walaupun, bakti saya tu kecilnya hanya sebesar hama. Tak apa dan tak apa-apa! Paling penting, saya dapat rasakan kalau bakti dan kasih sayang saya tu dihargai oleh mereka semua. Sungguh... saya sayang gila pada mereka yang semuanya ada di Johor Bahru tu. Tanpa mereka, saya sebenarnya tak tahu harus melangkah macam mana. Mereka tak ada di depan mata, tapi saya tahu mereka selalu ada.

Selamat Lahir Marwati, moga panjang umur, murah rezeki & selalu ada dalam rahmat ALLAH’. Tak malu kan ucap pada diri sendiri? Tapi biarlah, kalau bukan saya dan orang-orang di sekeliling saya yang mendoakan saya, siapa lagi kan? Lagipun doa tu adalah doa yang sama saya gunakan tiap kali orang di sekeliling saya menyambut hari lahir. Kalau saya boleh mendoakan orang lain, kenapa saya tak boleh berdoa untuk diri sendiri bukan? Yang ke berapa? Oh... jangan ditanya sebab saya dah tua sebenarnya, cuma belum bongkok tiga aje.

Tahun ni saya kat kampung masa hari lahir saya. Tak sambut pun sebab saya bukannya budak-budak yang memang selalu tunggu tarikh lahir sendiri. Kalau ada pun, saya dan keluarga pergi makan-makan untuk kenyangkan perut sendiri. Dapat juga beberapa hadiah. Tapi dalam beberapa hadiah yang saya dapat, sekeping kad daripada adik ipar saya buat air mata saya meleleh. Emo kan saya? Tak juga, tapi sungguh... saya rasa betul-betul tersentuh dengan isi kad itu. Banyak yang dia tulis dalam kad yang sangat comel tu. Saya petik sikit dan harap dia tak marah sebab saya nak mengabadikan kata-kata dia yang dah menusuk terus ke hati saya. Antara yang buat saya banjir dalam diam masa sampai kat Rumah Pink;

“Thanks sis!
-coz banyak tolong kita orang...
-coz jadi the best sis ever...
-coz always support us...
-coz buat ika rasa macam kak tam kakak ika sendiri...
-coz ika rasa kak tam ni cool...
-coz kak tam ni selalu faham dan selalu ‘ok aje’”

Kalau orang lain, mungkin petikan kata-kata tu hanya petikan kata-kata biasa. Tapi bagi saya sebagai kakak ipar, saya rasa sangat terharu. Saya kenal dia dan saya tahu dia orang jenis bagaimana. Bila dia menulis macam tu, saya dapat rasa dia benar-benar memaksudkan apa yang ditulis dalam kad comel itu. Bahkan saya dapat rasa betapa terseksanya dia nak mencari kata-kata untuk hidangan mata empat saya ni. Itu pun, dia tak bagi saya tepat pada hari lahir saya dengan alasan dia malu dan takut saya ketawakan dia. Takut juga ipar dan biras yang lain tumpang baca.

Kelakarkan dia? Tapi di sebalik kelakarnya dia tu, saya betul-betul tak sangka dia akan tulis kata-kata macam tu kat saya. Yalah... sebenarnya bagi saya, saya bukanlah kakak ipar yang begitu baik. Mulut saya ada masa-masanya tak ada insurans langsung. Kalau saya nak tegur, saya tegur aje ikut suka hati saya dan dengan muka berlagak saya ni. Kalau saya nak merungut, saya akan merungut sesedap rasa macam saya tak ada perasaan. Kalau saya nak marah, suara saya tinggi melangit aje macam saya seorang aje yang boleh marah-marah. Hanya... dalam merungut, dalam menegur dan dalam marah-marah, saya akan pastikan saya selalu ada bila diperlukan. Saya akan pastikan saya dapat mengurangkan beban yang ditanggung dia dan mereka yang lain. Untuk mereka, saya rela jadi lilin yang membakar diri. Satu kata yang saya selalu cakap, “Saya tegur, saya marah, saya merungut pada yang saya sayang. Bila saya dah berhenti tegur, marah dan merungut, ertinya sayang saya dah hilang...”

Banyak lagi yang dia tulis, tapi biarlah ia hanya untuk tatapan saya semata-mata. Kad comel tu kini letaknya dalam purse saya. Tak tahu kenapa, tapi saya memang terasa nak bawa kad tu ke mana-mana aje saya pergi. Untuk yang lain, yang bagi hadiah, yang bagi ucapan selamat hari lahir pada saya, terima kasih banyak-banyak. Macam mana kamu, kamu dan kamu mendoakan saya, saya pun akan mendoakan perkara yang sama pada kalian.

- SaYa NaK aBaNg SaYa [ 2 ] -

May 18, 2011

Melampaukan tajuk n3 tu? Kedengarannya macam permintaan adik yang mengada-ngada kan? Adik yang terlebih manja dan tak tahu buat apa-apa kan kalau tak ada si abang di sisi? Adik yang dalam segala hal hanya bergantung harap pada si abang semata-mata. Hahaha... [gelak besar]. Tapi... tolong jangan buat kesimpulan sendiri dulu ya. Jangan hakimi saya selagi tak kenal siapa saya yang sebenarnya. Itu hanya tajuk n3 semata-mata, sedang kenyataannya saya bukanlah adik yang mengada-ngada dan manja terlebih. Kalau saya adik manja terlebih, minggu pertama bekerja di KL ni tentu awal-awal lagi saya dah cabut balik JB sebab terasa sendiri di tanah yang tak asing bagi diri saya. Walaupun saya aku, awal-awal kedatangan ke KL dulu saya rasa sangat sengsara. Opsss, saya tak diseksa okey! Hanya... saya rasa sengsara hendak menyesuaikan diri dengan tempat baru dan rasa agak asing bagi saya walaupun dah 3 tahun belajar di UPM.

Berbalik pada tajuk n3 di atas. Kenapa saya tiba-tiba nakkan abang saya? Sebenarnya... minggu lepas saya rasa macam ada yang tak kena dengan kereta saya. Setiap kali bawa, saya rasa ada rasa tak best. Rasa macam kereta saya pancit aje, tapi bila tengok tak pancit pula. Hanya yang saya perasan, tayar macam kempis sikit daripada biasa dan saya beranggapan angin keluar. Saya dah mula susah hati sebab saya sebenarnya tak reti isi angin dalam tayar. Okey, kalau rasa nak ketawa, silakan ketawa aje sebab saya memang tak marah dan tak akan marah. Tapi sungguh, saya tak pernah isi angin kereta sebab selama ni, abang saya yang akan buat bila datang KL. Tapi bila dia dah lama tak datang KL, mahu tak mahu saya terpaksa buat sendiri. Anehnya sebab rasa takut-takut berani, sudahnya saya tak isi pun angin tu, saya singgah di stesen minyak hanya untuk isi minyak, lepas tu pandang aje tempat isi angin macam ada yang terbuku kat dada. Padahal... apalah salahnya kan kalau isi angin sekali? Penakutnya saya... ALLAH aje yang tahu.

Tapi bila satu hari tu ada pemandu dan penumpang kereta sebelah asyik pandang-pandang ke arah saya [perasan tuh] dan kereta saya, saya jadi panik. Macam ada sesuatu yang ingin disampaikan, tapi sebab takut saya bawak juga kereta tu sampai ke rumah. Saya tengok semua tayar, tengok body kereta, lampu dan segala macam bagai. Maklumlah... mana tahu memang ada yang tak kena dengan kereta saya. Bila rasa tak ada apa yang boleh saya buat, saya pun ambil hp. Ayat pertama saya selepas salam;

“Tayar pancit tu macam mana keadaannya?” Soalan tu macam soalan yang tak cerdik kan? Tapi memang itulah soalan saya pada abang saya.

“Tu bukan pancit tak? Angin keluar. Pergilah isi angin.” Itu balasan kata daripada abang saya.

“Nak isi angin macam mana?”

Dengan nada tenang, abang saya pun terangkanlah satu per satu. Sedangkan hati saya kata, ‘Aku tak nak isi angin kereta. Aku nak abang aku’. Tapi saya gagahkan juga memandu sampai ke stesen minyak. Pandang meter yang ada sambil termangu-mangu. Dengan tangan sedikit gigil saya pun mencuba, tapi tiap kali tu saya rasa berdebar-debar sendiri. Bila rasa angin macam tak masuk saya tambah gemuruh. Capai lagi hp, dail nombor yang sama.

“Tak boleh. Dia macam tendang balik!” Itu aduan saya pada abang saya dan saya dengar dia ketawa. Dia suruh saya tekan kuat-kuat dan saya pula kata pada dia, “Ami tekan macam pegang pensel aje.” Sekali lagi dia ketawa kuat dan terus juga tak jemu terangkan pada saya satu demi satu dengan nada suara yang tak bosan. Akhirnya... saya berjaya mengisi angin dalam keempat-empat tayar dengan jayanya. Wah... bangganya saya! Dan lepas ni, kalau ditakdirkan tayar saya kurang angin, insya-ALLAH saya tak akan panik lagi. Benarlah kata orang, pengalaman pertama memang mampu buat manusia rasa berpeluh-peluh sendiri, ;-)

- DiA sUdAh 6 TaHuN -

May 12, 2011

22 Januari, birthday Mohammad Aqqif Najmie, 5 Februari, birthday Mohammad Naqib Zakwan, 15 Februari birthday Nurul Husna dan hari ni, 12 Mei, birthday anak buah saya yang ketiga iaitu Danish Hakim. Saya masih belum dapat bercakap dengan dia sampai sekarang sebab saya percaya sekarang ni dia dah pun ada kat sekolah. Nanti petang saya akan telefon dia, saya nak nyanyi kat telinga dia lagu selamat hari lahir sebab dia selalu tak bagi saya tunjuk bakat nyanyi lagu tu untuk dia. Tapi tadi, seawal pukul 6.15 pagi saya dah hantar SMS bertulis begini;

“Happy birthday to Danish Hakim. Moga panjang umur, murah rezeki, selalu dalam lindungan ALLAH dan jadi anak yang baik - Love, Mak Tam...”

Kesimpulan yang boleh saya buat tentang birthday boy ni sepanjang saya kenal dia dalam 6 tahun ni, hem... dah 6 rupa-rupanya DH menghirup segarnya bumi ALLAH. Saya hampir terlupa betapa pantasnya masa berlari meninggalkan kita semua. Terima kasih ya ALLAH kerana kurniakan DH pada kami sekeluarga, kurniakanlah seluruh rahmat-MU buat DH kesayangan kami ini ya ALLAH, juga pada buah hati kesayangan kami yang lain. Moga mereka yang menjadi kesayangan kami itu akan menjadi anak yang bukan hanya mampu menjadi penyejuk di mata dan penyeri di hati kami semata-mata, tapi juga untuk semua yang bakal mereka temui dalam seumur hidup mereka kelak.

Alamak... mood emo pulak. Maaf ya! Okey, berbalik fasal DH tadi, kesimpulan saya tentang DH, berat badannya... saya dah confirm lupa walaupun hari tu dia ada bagi tahu dan saya siap mengejek dia lagi. Maklumlah, usia dah makin ke senja maka makin banyak perkara yang dah tak lekat di ingatan. Tapi yang pasti DH memang berat walaupun masih belum mampu mengatasi keberatan saya. Dan terus terang kata, saya tak suka tengok berat badan dia yang sekarang. Bukan sebab saya iri hati sebab pipi dia dan pipi saya memang sama-sama pau! Bukan ya. Apa barang cemburu pada anak buah sendiri. Tapi saya memang tak suka dengan berat badan dia sekarang ni sebab saya bimbang, risau kalau-kalau berat badan yang saya agak terlalu jauh lari daripada usia DH tu akan menyebabkan dia tidak sesihat budak-budak seusia dia. Memanglah kecuali asma [bukan asmah ye kawan-kawan], DH tidak menghadapi lain-lain masalah. Tapi bila sesekali asma dia datang dalam keadaan badan yang berisi begitu, saya rasa sangat belas. Masa dia sakit saya diam, bila dia dah sihat, saya mula jadi MURAI yang tercabut ekor. Bukan aje DH yang saya bebel, dengan mama DH sekali kena. Jahat kan saya? Tapi... saya bebel sebab saya sayang DH, salah ke saya? [Ayat minta simpati kalau ada yang mahu simpati]

Saya tahu DH suka lumba lari, saya juga tahu DH sangat sukakan bola sepak. Bahkan, kalau saya jerit kuat-kuat pun gara-gara dia main bola dengan Aqqif dalam rumah tengah-tengah malam sampai habis disepak segala pasu, dia tetap juga tersengih-sengih. Dan kesudahannya, dengan mata terjegil, gigi gigit bibir, saya rampas bola dan letak atas almari sambil kata, “Ambik balik bola tu, kena!” Lepas tu DH dan Aqqif akan kata macam ni, “Mak tam ni!”. Tak pun bila saya angkat tangan kanan nak mencepuk, dua-dua lari lintang-pukang sambil ketawa-ketawa. Tapi dengan berat badan macam tu, saya tak nampak jalan yang dia dapat buat dua perkara tu, kecuali dia terpaksa kecilkan badan dia. Tapi macam mana ya nak kecilkan badan? Kurangkan makan? Soalnya, dah lama saya tengok DH tak makan banyak macam dulu tapi badannya tetap juga tak susut. Kenapa ya?

Apa-apa pun, tak kira macam mana keadaan DH, saya akan tetap mendoakan yang terbaik buat dia. Harapan saya, satu hari nanti dia akan jadi anak yang baik, sangat baik dan benar-benar baik bukan hanya untuk orang tua tapi untuk semua orang yang akan ditemui dalam seumur hidup dia. Untuk Danish, Selamat Hari Lahir, moga seluruh rahmat ALLAH akan jadi milik Danish, ;-)

- KaSiH bEnAr KaSiH -

May 6, 2011

Mereka tak saling kenal tapi disuruh berkenal-kenalan. Jika sesuai boleh melangkah, jika tidak, tarik saja diri. Lalu, mereka mencuba dengan alasan, ‘Dia kosong, aku pun kosong!’

Pertama kali bersua muka, Annura berasa jengkel, sedangkan Dinzley bersikap ala-ala lelaki tak berperasaan. Sudahnya seorang ke utara, seorang ke selatan. Hati mereka tak bertemu di titik yang sama. Namun, masing-masing tak pernah mengatakan ‘tidak’ sehingga banyak pihak menyangka kalau diam itu tanda setuju.

Sampai masa, mereka benar-benar tak mampu berkata ‘tidak’ bila melihat wajah-wajah penuh harap. Saat sedar mereka tak mungkin berpaling lagi, cubaan demi cubaan dilakukan untuk menembusi hati masing-masing. Paling penting, mereka tak dilabel sebagai pasangan kahwin paksa, tapi kahwin atas tiket suka sama suka. Orang tua hanya talian hayat semata-mata.

Ketika sedar ada sesuatu berdetak tiap kali mata bertentang mata, muncul Syirin menagih janji lama. Sudahnya, janji baru terpaksa Dinzley mungkir walaupun Annura sudah ternampak bayang-bayang pelamin nan indah.

P/S - YANG BERMINAT DENGAN NOVEL KBK NI, BOLEH JENGAH DI SINI