- SiApA mAu DuLuAn? -

April 29, 2011

Dalam dunia ni, kalau tanpa sebab dan alasan, tak akan ada orang yang mahu menyakitkan hati orang lain dengan sengaja. Betul tak? Tak betul? Oh... kamu, kamu dan kamu bohong! Saya tak percaya. Tapi kalaupun ada yang mengatakan tak betul, saya tetap berpegang pada jawapan saya, saya yakin jawapan saya betul sebab saya berfikir menggunakan logik akal. Itu hakikat yang tak boleh disangkal sesiapa hatta bagi orang yang dalam hidupnya memang gemar mencari fasal dengan orang lain.

Tapi untuk pengetahuan kamu, kamu dan kamu... yang di atas itu hanya mukadimah semata-mata. Tak ada kaitan langsung dengan n3 yang nak saya conteng di sini. Yang nak saya sampaikan, akhir-akhir ini... terasa macam banyak benar hati yang dah saya sentuh. Ada yang dah saya sentuh secara sengaja. Ada yang saya sentuh secara tak sengaja. Ada yang saya tak sentuh langsung tapi saya terasa seperti saya sudah menyentuh hati mereka. Dan sudahnya... untuk semua sentuhan pada hati yang sudah saya buat, saya rasa bersalah sendiri. Terasa seperti ada batu besar sedang menumpang teduh di atas pundak, fikiran dan hati saya di tika dan saat ini. Saya rasa sangat tak best dan tak selesa dengan keadaan ni.

Semua sentuhan pada hati tu tak berlaku dengan jerit-pekik atau maki-hamun macam orang hilang akal, atau orang tak bertamadun. Sebabnya, semarah-marah saya pun atau sesakit mana pun hati saya pada orang, saya tak akan marah-marah macam orang hilang pedoman. Tapi saya tak mungkin juga tak akan marah atau terasa hati kalau hati saya sakit sebab hati saya tak mungkin diperbuat daripada batu ataupun besi. Kalau diperbuat daripada dua bahan tersebut, mungkin jugalah saya tak rasa apa walaupun hati dan perasaan saya disakiti orang. Jadinya, bila saya dimarahi atau memarahi orang, saya akan diam ataupun saya akan marah-marah di belakang. Tak adil kan sebab marah-marah kat belakang siapa yang tahu? Tapi bagi saya, biarlah saya marah sendiri, daripada saya memalukan diri sendiri ataupun memalukan orang yang dah menyebabkan saya sakit hati.

Okey, berbalik pada hati-hati yang dah saya sentuh akhir-akhir ini, saya tak tahu dengan jelas benarkah saya dah menyentuh hati mereka atau sebaliknya. Tapi saya terasa seperti, ‘YA’... saya sudah menyentuh hati mereka. Cumanya, saya tak tahu mahu berbuat apa untuk memulihkan apa yang dah saya buat. Terasa hendak memujuk, tapi saya bukannya jenis tahu memujuk. Terasa hendak meminta maaf, tapi saya sendiri tidak jelas apa kesalahan yang telah saya lakukan dan benarkah memang ada hati yang sudah saya sentuh? Karang kalau tiba-tiba saya minta maaf dan hati-hati itu sebenarnya langsung tak tersentuh, takkah seperti saya sengaja buat malu diri sendiri? Tak ke lepas saya minta maaf, hati-hati yang konon-kononnya dah saya sentuh tu akan cuba mengorek hati saya pulak? Tidak! Hati saya, biar saya sendiri saja yang tahu apa ada di dalamnya. Hati-hati itu boleh tahu, tapi bukan sepenuhnya. Atau... keadaan akhir-akhir ini buat saya berfikir semua yang saya buat salah, walaupun niat saya hanya inginkan yang terbaik, bukan untuk saya semata-mata tapi untuk semua yang ada di sekeliling saya?


Dan kalaulah saya terasa ingin memujuk, agaknya... siapa yang harus saya pujuk dulu? Dan lagi, siapa yang mahu saya pujuk?

- MeI... cEpAtLaH dAtAnG! -

April 28, 2011

Ketika April belum pun menjengah, saya sudah tersenyum simpul mengharapkan Mac segera berakhir. Ada banyak sebab untuk saya mengharapkan Mac pergi digantikan April yang bagaikan menjanjikan sesuatu untuk saya, sesuatu yang tentu saja belum pasti kerana perkataan yang digunakan saja adalah ‘bagai’. Bagai itu boleh jadi membawa maksud ‘ya’ atau juga ‘tidak’. Tapi saat April benar-benar memunculkan diri, saya tak tahu apa perasaan saya. Penantian saya perlahan-lahan bertukar rasa. Kalau pada awalnya seperti menggebu-gebu, meronta-ronta, perlahan-lahan... rasa-rasa itu semakin lama semakin mengecil digantikan dengan sesuatu rasa yang lain, yang mengambil tempat dalam hati. Ya... fitrah manusia, sering kali saja meminta begini, tapi bila sudah diberikan begini, mula meminta yang begini itu digantikan dengan yang begitu pula. Dasar manusia! Tak pernah puas dengan semua pemberian yang sudah diberikan.

Kini, hari ini, April dah semakin ke penghujung. Tapi saya seperti sudah tak sabar-sabar menanti Mei tiba. Saya mengharapkan April segera pergi bersama-sama semua yang sedang membelenggu diri di kala ini. Bukan kerana Mei bermakna ada hari lahir saya. Tidak! Bukan itu sebabnya kerana hari lahir bagi saya bukanlah apa-apa sangat. Hanya membuktikan kalau umur saya meningkat setahun lagi dan dengan izin DIA saya mampu menghirup lagi segarnya udara milik DIA. Tapi tak seperti April, saya sendiri tak pasti untuk apa Mei saya tunggu. Yang jelas, saya mahu Mei segera datang supaya April segera berlalu.

Kejamkan saya? April langsung tak bersalah pada saya. Tapi cara saya mahukan April pergi, seolah-olah April sudah melakukan kesalahan yang besar dalam hidup saya. Sepertinya, April sudah memalitkan satu lagi kenangan buruk dalam catatan kenangan hidup saya. Padahal... bukan salah April kerana yang berlaku tak ada kena-mengena dengan April. April hanya bulan pelengkap kepada 11 bulan yang lain. Tanpa kehadiran April segala-galanya seakan-akan tak lengkap lagi. Dan sejujurnya... saya sendiri jadi tak pasti lagi apa sebenarnya yang telah berlaku dan permainan jenis apa ini? Hanya yang jelas, saya memegang kata-kata orang, saya pegang kejap kata-kata itu dan kemudian kata-kata itu saya gunakan kerana itu yang dikata pada saya. Bila sampai masa, kata-kata itu tak dikota dan sudahnya, tersurat sudah yang hati saya dianggap enteng lagi, lagi dan lagi... ;-)

- SeRaBuT aTaU jIwA kAcAu? -

April 26, 2011

Sakit sangat ke? Tak! Sakit sikit aje? Tak juga! Sakit main-main? Eh... mana ada sakit main-main! Dah tu, sakit dibuat-buat? Mana boleh sakit buat-buat, kalau dah namanya sakit tetap juga naamanya sakit! Kalau semua bukan, maknanya... tak sakitlah tu namanya kan? Taklah, sakit! Habis tu nak gelar sakit apa? Entah! Ah... malaslah nak tanya lagi!

Hem... itu bukannya dialog siapa-siapa atau dialog apa-apa. Hanya dialog dalaman yang berkeliaran dalam diri yang tentunya saling bercanggahan antara hati dan juga akal. Sekejap hati berkata begini, sekejap akal menyangkal begitu. Sekejap hati berkata begitu, sekejap akal menyangkal begini. Dan kesimpulannya, hati dan akal hanya akan diam bila tuan punya diri tidur. Itu pun kalau benar tuan punya diri masih mampu tidur lena sambil ditemani mimpi-mimpi tak sudah.

Ceh... merepek apa ni? Tak tahu! Anggap saja n3 hari ni n3 yang tak penting. N3 yang kalau dilayan hanya akan membuang masa semata-mata. N3 yang langsung tidak ada isi [macamlah n3-n3 selama ni kaya dengan segala macam isi kan?]. Tak kisahlah sebabnya jari-jemari tak runcing ni benar-benar nak menari-nari di keyboard hari ini, menari rentak samba katanya. Merepek sekali lagi! Ya... ya... saya tahu dan saya sangat tahu kerana semua yang tertulis lahir dari hati dan akal saya yang masih sangat waras walaupun saya seperti merasakan ada sesuatu yang tak kena sekarang ini.

Tapi sungguh, saya rasa saya sakit! [Bukan sakit di tubuh]. Terasa seperti ada sesuatu sedang menghantui saya di ketika ini, di kala ini dan di saat ini. Apa dia tu yang dah bertindak begitu kejam? Tak tahu, tak tahu dan tak mahu tahu pun. Dan kesimpulannya... oh, masa rehat saya dah habis. Dah dulu ya, nanti bila-bila ada masa saya sambung lagi, harap masa tu saya dah kembali tenang-tenang aje..., ;-)

-PeStA bUkU aNtArAbAnGsA Kuala Lumpur 2011-

April 22, 2011

Cepatnya masa berlalu, dah setahun rupa-rupanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 tinggalkan saya. Saya aje ke yang ditinggalkan? Tak kiralah kan? Apa pun, pencinta buku pasti sedang tersenyum lebar sekarang ni. Tak? Ah... saya tak percaya! Sebabnya, saya sendiri pun sekarang ni sedang tersenyum gembira mengenangkan PBAKA dan kalau kamu, kamu dan kamu yang menggelar diri kamu pencinta buku tapi kamu tak tersenyum bila mengingatkan PBAKL, kamu, kamu dan kamu bukan pencinta buku sejati. Hanya cintakan buku pada nama semata-mata.

Tak macam 5 tahun kebelakangan ni, tahun ni jadual saya tak padat sangat di PBAKL. Saya hanya bertugas esok, 23 APRIL 2011 di booth FAJAR PAKEER dan 1 MEI 2011 di GRUP BUKU KARANGKRAF [ALAF 21]. Makanya, tahun ni saya bebas merambu ke sana ke sini. Yang sebenarnya, ikut perancangan awal, tahun ni saya tak nak bertugas sebab saya manusia yang ada masa-masanya cepat serik. Tahun lepas adalah tahun PBAKL mimpi buruk untuk saya, tahun kenangan, pengajaran untuk saya supaya lain kali terus beringat. Dan kesimpulannya berjaga-jaga, berhati-hati dan bersedia kerana ada yang sedang memerhatikan walaupun mungkin tak ramai dan saya tak tahu siapa dan untuk apa. Tahu-tahu, nama dah naik. Kalau naik sebab dapat hadiah cabutan bertuah tak apa juga, rasa jugalah berbaloi-baloi, tapi... alahai, sadis betul. Saya hanya penulis cabuk, bukan artis. Tak perlulah nak tengok saya sampai macam tu sekali. Yang jelas, “Don’t judge a book by its cover”. Tak baik! Kamu, kamu dan kamu tak kenal saya, jadi tolonglah jadi hakim bagi saya, saya tak lantik kan?


Okeylah, secara rasminya inilah jadual saya. Kalau ada yang mahu berborak kosong dengan saya, jom... datang jumpa saya. Tapi kalau datang sambil bawa novel-novel saya, lagilah saya SAYANG, SAYANG dan SAYANG GILA sama kamu, kamu dan kamu.

23 APRIL 2011 – FAJAR PAKEER

1 MEI 2011 – GRUP BUKU KARANGKRAF [ALAF 21] – Saya TAK BERANI MENJANJIKAN apa-apa, kalau tak ada aral mungkin KASIH BENAR KASIH, novel terbaru saya akan ada masa ni nanti. Tapi kalau tak ada, maknanya tak ada masa tu tapi pasti akan ada di kedai-kedai buku berhampiran selepas selesai PBAKL. Jadi, jangan marah saya kalau ditakdirkan tak ada, sebab saya tak berjanji. Hanya berani berkata MUNGKIN.

Jumpa kamu, kamu dan kamu ya...

- DuA dAlAm SaTu -

April 21, 2011

Hari ni adalah hari yang sangat letih untuk saya. Malam tadi saya tak dapat tidur walaupun saya masuk tidur seawal pukul 10.00 malam. Puas bergolek ke kiri dan ke kanan, tetap juga mata saya tak mahu lelap. Sudahnya, yang dapat hanya rasa pedih. Yalah... saya memejamkan mata beria-ia, sedangkan mata saya tak mahu tidur. Salah saya sebab saya memaksa pada yang tak mahu. Cuba kalau saya dipaksa, marah tak saya? Jawapannya, dah tentulah saya mengamuk macam Hang Jebat masa Zaman Melaka dulu. Mujur juga bila bangun pagi, mata saya tak bengkak sebesar telur puyuh dan tak juga lebam macam kena tumbuk gara-gara curi durian di dusun Kak Kiah. Tapi yang jadi masalahnya, belum pun mula kerja mata saya macam dah digam dengan gam gajah, ditekankan sekali lagi ya, gam gajah, bukannya gam UHU. Kalau gam UHU mungkin masih boleh dikopak lagi. Bila dipanggil gam gajah yang ada gambar gajah tu, seksanya rasa TUHAN saja yang tahu.

Dan bila mata ngantuk bergabung dengan rasa letih yang agak melampau [ya, saya memang akan jadi manusia yang sangat tak bermaya selepas menyiapkan satu-satu manuskrip sebab dalam proses menyiapkan manuskrip saya dah keluarkan semua kekuatan dalaman yang saya ada dan bila siap, saya macam dah tak ada apa-apa], muka saya jadi macam asam kecut sepanjang masa, berjalan hanya memandang depan dengan langkah yang lemah macam tak makan setahun dan lebih buruk daripada itu saya jadi manusia terlebih emosional. Pantang tercuit, mudah terasa dan mudah naik angin. Kalau ikut hati agaknya akan ada aksi buku terbang sebab nak buat piring terbang saya tak kerja kat kedai makan. Jadi... kebarangkalian nak jumpa piring atau pinggan atau dulang adalah sangat susah, kecuali saya rajin pergi ambil di pantri. Sebab itu saya tak suka kalau pergi kerja kalau saya tak tidur malam. Tapi ada juga beberapa kali saya buat perkara ni.

Antara sebab-sebab yang membolehkan saya tak tidur malam, minum nescafe pada waktu petang atau malam hari, baca novel sampai ke pagi dan tengok DVD Korea, Taiwan atau Jepun. Mujur juga akhir-akhir ni saya dah jarang buat ketiga-tiga perkara tersebut. Kalau ada pun saya akan buat masa hujung minggu. Tapi DVD Korea, Taiwan dan Jepun saya langsung tak sentuh sebab saya tak nak rasa terikat. Sekali saya tengok, saya tahu saya akan cari, cari dan cari sampai saya dah tak jumpa cerita yang boleh tarik minat saya lagi.

Hem... saya nak tinggalkan kisah saya yang letih dan tak dapat tidur tu sebab saya dah tak tahu nak tulis apa lagi tenang itu. Tapi sekarang ni saya nak bukak cerita lain pula. Tadi, seorang kakak di bahagian saya kata, “Bila akak baca novel awak. Akak tengok awak. Kenapa lain?” Saya yang faham apa maksud kata-kata dia, ketawa besar. Ya, saya memang seorang yang suka ketawa dan ceria. Padahal... saya tahu terlalu banyak ketawa tak baik sebab nanti hati mati, tapi di sudut yang lain, orang kata boleh awet muda. Itu... orang yang kata, bukan saya dan kalau nak saman, saman orang jangan sama saya atau pokok kelapa sebab saya hanya memetik kata-kata orang dan pokok kelapa pula tak ada kaitan dalam ini cerita ya.

Betul kata kakak tu, saya sedar yang karya saya memang nampak agak serius, kurang lawak jenaka, bahasanya tak terlalu santai dan tak juga terlalu berbunga-bunga. Bahkan lebih daripada itu, orang yang baca karya saya selalu sangka bahawa saya seorang yang kesian sebab novel-novel saya kebanyakannya mampu mengundang air mata pembaca dan saya seolah-olah bercerita tentang diri saya sendiri. Oh... tidak! Tidak dan tidak! Hidup yang saya jalani selama ini tidaklah sesadis watak-watak dalam karya saya. Tapi tidak juga bermakna hidup saya ‘plain’. Kalau ada orang kata hidup saya ‘plain’, yang itu saya sangat tak setuju sebab saya percaya setiap orang di dalam dunia ni didatangkan dengan pakej yang lengkap. Ada bahagia, tentu ada derita. Ada suka, tentu ada duka. Ada lurus, tentu ada bengkok. Makanya, saya juga tak lari daripada diduga DIA.

Pernah satu ketika, saya diuji dengan ujian yang langsung tak pernah terjangkau di fikiran saya. Ujian yang saya rasa saya tak mampu hadapi. Saya menangis, menangis dan menangis kerana saya dapat rasa yang saya tak akan mampu tanggung. Tapi bila hari ini saya masih mampu menjalani hidup seperti biasa, saya faham. Itu bererti saya mampu. Dan saya sedar, ALLAH tak akan menduga hamba-NYA melebih kemampuan yang dimiliki.

Dan berbalik pada kakak tadi tu, sebenarnya yang dia nak sampaikan, saya ni orangnya gila-gila dan periang. Novel yang dia baca tu macam bukan saya yang tulis tapi orang lain. Dan saya... saya memang tak ada jawapan untuk kata-kata macam tu. Yang ada, hanya senyum dan ketawa. Lagipun, saya tak menulis kisah saya sebab kisah saya tak begitu menarik untuk digarap menjadi sebuah novel, ;-)

- IdEa GiLa TaPi BeSt! -

April 20, 2011

Sering kali terjadi, kita plan dengan keluarga atau kawan-kawan kita nak ke mana-mana. Ke mana-mana itu, tentulah bermaksud tempat yang indah sebab kita tak plan apa-apa kan kalau sekadar nak ke tandas, walau secantik mana pun tandas itu? Lepas tu dari hari ke hari, kita akan plan, plan dan terus plan bagaikan tak ada kesudahan. Dengan harapan, plan yang kita susun dengan kata-kata, “Baik punya plan’, akan menjadi. Malangnya, semua plan berakhir dengan kata-kata, “Alamak, aku tak freelah.”, “Kita pergi lain kali ajelah.”, “Aku tak dapat cutilah.”, “Poket kosonglah.”, dan macam-macam lagi alasan kerana manusia memang kaya dengan alasan. Dan selebihnya atau paling tepat lagi, sebagai manusia kita hanya mampu merancang sedangkan ada DIA sebagai PERANCANG paling UTAMA.

Begitu juga dengan saya, saya pun selalu plan dengan kawan-kawan dan keluarga. Bukan hanya satu atau dua plan yang saya susun dengan mereka, tapi kalau nak dikira mungkin habis jari-jemari kaki dan tangan saya digunakan pun tak cukup. Sebabnya, saya antara manusia yang kaya dengan perancangan dalam hidup. Ceh... ayat memang tak boleh cari makan kan?

Ada antara plan saya yang berjaya jadi kenyataan, syukur. Tapi lebih banyak juga plan saya yang jadi macam angin lalu. Berhembus sekali lalu ke muka, lepas tu pergi tak berpesan. Hanya berjaya diikat guna mulut, tapi tiada tarikh pelaksanaan kerana sebab-sebab yang saya sebutkan di atas. Makanya, saya nasihatkan pada diri sendiri, “Kalau buat plan, jangan terlalu berharap”. Sebabnya, dah terlalu kerap tak menjadi dan saya pun jadilah manusia yang tak mahu terlalu berharap. Bagi saya, ada rezeki pasti ada. Kalau memang tak ada rezeki, saya percaya tentu ada hikmahnya. Lagipun tak ada rezeki kali ini, belum tentu lain kali pun tak ada kan?

Saya cerita apa ni sebenarnya? Entah ya! Saya sendiri tak begitu jelas. Tapi yang sebenarnya saya hanya nak bercerita tentang apa yang saya lakukan hari ahad lepas. Pagi, Fida datang ke rumah. Saya yang memang mamai menyambut kedatangan dia sebab memang dah janji. Berbual-bual sambil tengok TV, makan sarapan pagi. Lepas tu ketawa-ketawa tengok cerita hindustan kelakar.

“Hari ni kita pergi cari barang eh. Esok kalau akak pergi kerja, Fida tak ada apa pulak nak makan.”

Itu kata saya pada Fida. Lama lepas tu saya tanya lagi. “Kita nak pergi mana hari ni?” Saya macam orang hilang ingatan masa tu. Tapi lepas-lepas tu Fida pula tanya soalan yang sama. Pendek kata, saya dan Fida asyik mengulang soalan yang sama.

“Sebenarnya Fida ingat nak ajak akak pergi satu tempat. Tapi agak jauhlah. Kalau akak naklah.”

“Ke mana? Kelantan?”

Fida ketawa. “Akak melampau. Pergi PD atau Melaka ke?”

Tak fikir apa saya pun bangun. “Jom, kita pergi Melaka.” Saya terus masuk bilik dan bersiap. Tak lama lepas tu saya betul-betul dah siap. Dalam kereta, pandang muka Fida, Fida pandang muka saya. Lepas tu masing-masing ketawa besar. Saya dan Fida, kami selalu buat plan gila macam tu. Kadang hendak ke sini, tapi tau-tau dah ada di Nilai 3. Kadang hendak ke sana, tau-tau-tau dah ada di Menara Tinjau. Kadang nak ke situ, tau-tau dah ada di Putrajaya dan macam-macam tempat lagi. Tapi saya gembira, sebab bulan ni adalah bulan SAKIT untuk saya. Bukan SAKIT di tubuh, bukan juga di hati. Tapi mungkin SAKIT di minda. Dan kesimpulan yang saya boleh buat... SAYA TERASA SUSAH NAK BERNAFAS BILA TERPAKSA MENULIS MENGIKUT TARIKH YANG DITETAPKAN. Tapi syukur... saya berjaya menyudahkannya 5 hari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. Dan saat ini, saya berdebar-debar menanti kelahiran novel KASIH BENAR KASIH, judul asalnya TETAPLAH DI SISIKU. Moga KBK ada tempat khas dalam hati pembaca novel-novel saya.









-DaTaNg JaNgAn TaK dAtAnG tAu!-

April 12, 2011

Wah... diam tak diam dah masuk bulan April. Tapi... yang sedihnya inilah n3 saya yang pertama untuk bulan ni kan? Kan? Kan? Alahai... gaya tanya macamlah penting sangat blog ni ada n3 atau tak. Entah-entah, ada atau tak, tak ada siapa pun yang peduli. Saya aje yang perasan macam ada orang yang peduli kalau saya tak menulis apa-apa di sini. Kalau ada yang peduli, kenapa tak ada yang bertanya kan? Tapi saya tak kisah sebab...

“... Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan...”

Okey kawan-kawan... sesi menyanyi dah tamat ya sebab saya bukan seorang penyanyi, tapi saya seorang penulis, penulis cabuk yang cuba menyelitkan diri di tengah-tengah kemeriahan dunia penulisan di Malaysia yang semakin hari semakin terasa kemeriahannya kerana penulis dan penerbit, tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Oh... bercerita tentang dunia penulisan, teringat pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 22 April 2011 – 1 Mei 2011. Yeye... saya sangat sukakan Pesta Buku! Saya sukakan suasananya yang sesak amat, sukakan kawan-kawan yang saya hanya jumpa setahun sekali, sukakan buku-buku yang jumlahnya jutaan, sukakan makanannya yang cekik darah walaupun hanya sebungkus nasi lemak yang kat luar baru RM1.50, kenangannya yang tak boleh dibeli di mana-mana dan tangan saya yang tak pernah kosong setiap kali balik daripada Pesta Buku. Kamu, kamu dan kamu, ingat... datang, jangan tak datang tau! Paling penting, jengah gerai Alaf 21 (Grup Buku Karangkraf) dan Fajar Pakeer, beli buku saya (tersengih malu sebab melobi diri sendiri) dan kawan-kawan saya juga, beli banyak-banyak, tapi jangan lupa juga pergi ke gerai Dewan Bahasa dan Pustaka, tempat saya mencari rezeki sebab di sana ada banyak maklumat yang sangat berguna untuk semua.

Dan mungkin... setelah 5 tahun berturut-turut bertugas di Pesta Buku dan mengalami bermacam-macam peristiwa yang manis dan juga tak manis, kelat dan masam-masam manis, payau dan tawar tak bergula dan macam-macam ada yang berakhir dengan seorang hamba ALLAH mengata saya dengan kata-kata yang kurang sedap didengar. Tak kenal saya pun, tapi sesuka hati menjadi hakim menilai diri saya. Tapi tak apalah, orang yang menilai orang lain, biasanya sudah biasa dinilai orang lain. Makanya, tindakan yang dibuat adalah salah satu protes pada apa yang dialami. Tak kisahlah! Saya selalu percaya, dalam apa pun yang kita buat ada ALLAH yang jadi pemerhati. Hari ini kita mengenakan orang, esok lusa hari kita dikenakan orang. Mungkin dulu saya pernah mengenakan orang, makanya... saya dikenakan orang. Hahahaha... padan muka saya!

Berbalik pada apa yang ingin saya katakan, mungkin dan kemungkinan besar, ataupun sangat pasti saya tak akan bertugas di PBAKL tahun ni, tahun 2011. Sebabnya, novel saya merupakan bonus bulan Mei. Bila dah namanya bonus bulan Mei, maknanya tentu akan keluar pada bulan Mei kan? Tapi tak kisahlah bila keluarnya asalkan tahun ni, novel saya akan ada di pasaran dan saya harap novel itu akan diterima pembaca seperti novel-novel saya yang lain juga. Hem... tapi itu tak bermakna yang saya tak akan datang ke PBAKL. Saya akan datang, mungkin satu hari kalau tak ada aral dan kalau saya tak dikuasai rasa malas yang melampau. Eh... saya rasa saya mesti pergi tak kira malas atau rajin sebab setahun hanya sekali, macam raya... rugi kalau saya tak pergi. Jadi... saya akan pergi! Bila masa dan harinya, biarlah mood saya tentukan kemudian. Tapi yang pasti pada;

27 April 2011, pukul 3.00 petang, bertempat di Bilik Wilayah Kuala Lumpur, Aras 5, Pusat Dagangan Putra, Kuala Lumpur (PWTC), kamu, kamu dan kamu dijemput hadir ke Majlis Pelancaran Buku dan Bicara Karya “Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen”. Masa tu, saya akan ada sebab saya memang kena ada sebab tu aktiviti bahagia saya, Bahagian Buku Sastera yang tercinta. Kalau saya tak ada, saya pasti kena sembelih dan diikat di depan pintu ofis oleh kawan-kawan saya yang juga tercinta itu. Jangan lupa datang tau!

Dan... inilah kenangan PBAKL terindah yang tak pernah dan tak akan saya lupa sampai bila-bila...