-Ramadan Ke-26-

September 17, 2009

Semalam, tak niat nak balas dendam walaupun satu ketika dulu, aku pernah marah sebab kecewa sangat. Entah ye... kadang-kadang, kita selalu rasa kita boleh bergantung harap pada orang yang kita rasa memang boleh diharap. Tapi bila tiba masanya, saat kita betul-betul memerlukan pertolongan, kita hanya mampu peluk bayang aje. Dengar abah berpaling dengan mata merah, aku yang tak ada kat sisi abah, yang duduk agak jauh, terasa hati aku bengkak. Sampainya hati! Cuma, sekian lama masa berlalu, aku dah melupakan sebab banyak benda lagi yang nak aku ingat. Dan rasanya, kalau terus berdendam pun aku tak akan dapat apa-apa. Perkara dah bertahun-tahun berlalu, biarkan aje pergi macam tu.

Tapi semalam, masa cakap ‘ya’ pada perkara yang aku nak katakan ‘tidak’, ALLAH aje yang tahu hati aku. Rasa marah sangat, sampai tak sedar abang aku yang jadi mangsa kemarahan aku masa dia tanya, kenapa aku beri dan dia sangka aku tak akan beri. Aku marah sebab, aku tak mampu nak katakan ‘tidak’, walaupun aku nak keluarkan perkataan tu. Mujur juga abang aku berjaya redakan hati aku bila dia cakap tak jadi dengan alasan aku macam marah. Ya, aku memang marah tapi bukan pada abang aku sebab abang aku dah cukup baik, tolong katakan tidak bagi pihak aku, tapi marah pada diri sendiri, marah pada orang yang suka ambil kesempatan atas kelemahan aku. Betul kata kakak ipar aku pada abang aku, ‘dia mesti beri’ dan dia orang tak suka dengan kelemahan aku tu.

Anehnya, bila habis bercakap dengan abang aku, aku rasa sedih sangat. Hati aku jadi susah... rasa bersalah pada perkara yang aku tak patut rasa bersalah. Mujur ada mak dan kakak ipar aku, dia orang kata, aku tak patut rasa bersalah sebab ‘itu’ aku punya, aku ada hak kalau tak nak beri pada orang. Ya, benar juga. Dan masa tu juga, aku jadi ingat peristiwa 8 tahun lepas. Cuba balas dendam ke aku? Tidak. Masa katakan ‘ya’, dalam nada yang berat hati, aku langsung tak ingat peristiwa tu. Aku ada alasan sendiri kenapa aku ‘tak bagi’, alasan yang sangat kukuh. Cumanya, sampai ke saat ni... kenapa mesti aku rasa bersalah dan tak sampai hati? Ah... hati aku sebenarnya dibuat daripada apa? Sekali-sekala, aku nak juga jadi manusia keras hati... tapi soalnya, boleh ke?

-Siapa Lagi Cantik?-

September 15, 2009

Alhamdulillah... akhirnya niat nak berbuka puasa di luar tercapai sudah. Bertempat di My Friends Tomyam, Impian Emas, aku dan keluarga mengorak langkah petang tu dalam pukul 6.00 petang. Sampai aje kat sana, tempat dah penuh dengan orang. Mujur juga kakak ipar aku dah booking tempat siap-siap. Kalau tak, alamat gigit jarilah kami anak-beranak. Tak pun aku yang meraung sebab frust. Dan hasilnya... inilah muka-muka gembira dan ceria keluarga aku. Tapi yang lebih gembira, tentulah aku sebab aku yang beria-ia nak makan kat situ. Lupa terus rasa penat gara-gara teman mak cari barang-barang kat Kipmart. Pendek kata, sehari suntuk tak lekat kat rumah aku kalau balik kampung.









Lepas semua selesai letak makanan dalam pinggan, abang aku (Chik) kata, nak masukkan makanan dalam pinggan perlu ada seni. Nasi letaknya di tengah-tengah, lauk-pauk pula kalau banyak, mesti letak di sekeliling nasi biar nampak cantik. Entah belajar dari mana dan siapa guru abang aku tu, aku tak tahu dan aku pun tak pasti apa yang dikatakan betul atau tidak. Cuma yang pasti dia kata lagi, dalam banyak-banyak pinggan yang ada atas meja panjang tu, pinggan aku yang paling tak lawa cara susunannya. Ya ke? Takkanlah aku teruk macam tu sekali? Lebih malu lagi, takkanlah aku boleh kalah kat tangan anak-anak buah aku? Tapi bila tunduk tengok pinggan sendiri, aku tersengih... mungkin apa yang abang aku katakan tu ada benarnya juga. Memang teruk sangat cara aku letak makanan, sebabnya... yang aku fikirkan makanan tu ada dalam mulut, kunyah sampai lumat, telan dan akhir sekali masuk dalam perut. Jadi, perlukah ada seninya lagi?

Pinggan Abang Chik - ya, bila pandang memang nampak cantik juga cara abang aku menyusun makanan dia. Adalah juga seninya walaupun aku tahu abang aku tu hanya merapu pasal tu. Sengaja nak buat aku nampak buruk, kalau bandingkan dengan dia.

Pinggan Abang Ngah - bila tengok aku ambik gambar pinggan Abang Chik, dia pula sibuk suruh aku ambik gambar pinggan dia. Ina kata, patutnya... aku ambik gambar pinggan dengan tuan punya makanan tu sekali. Malangnya masa tu, aku dah lapar sangat. Tak tahan nak tunggu lagi.

Pinggan aku - bila renung dalam-dalam, ya... betul juga apa yang Abang Chik katakan, buruk benar cara aku susun makanan. Tapi aku tak peduli, yang penting perut aku kenyang. Dan lagi... ya ALLAH... banyak benar aku makan sepanjang bulan puasa ni. Kalau berat orang lain turun, anehnya... kenapa berat aku naik 300 gram? Hahahaha...

-Cerita Tak Bertajuk-

September 14, 2009

Salam buat sesiapa yang sudi berkunjung dan masih mahu berkunjung, walaupun aku selalu ada dalam tiada kat sini. Apa nak dikata ya? Kerja yang makin menuntut masa, atau ada perkara lain yang menuntut aku supaya banyak belajar bersabar akhir-akhir ni, hingga aku jadi tak endah pada banyak perkara, termasuk rumah yang makin sepi ni. Hanya sibuk kata, sabar... sabar... sabar... Bukan lupa, bukan tak ingat... tapi ada banyak benar benda yang perlu aku fikirkan, hingga aku terpaksa melupakan banyak benda yang lain, yang selama ni sangat penting dalam hidup aku.

Ah hidup, kadang-kadang kita tak pernah jangka apa yang bakal berlaku, apa kesudahannya. Dan makin banyak aku ketawa, sebenarnya... makin banyak yang membelenggu hati. Hanya aku ketawa, ketawa dan ketawa terus demi menyedapkan hati sendiri dan menyembunyikan apa yang memang patut disembunyikan.

Dan 24 Ramadan… lagi 5 hari puasa, lagi 6 hari raya… Patutnya aku gembira sebab bakal menyambut hari bahagia tu. Tambah-tambah lagi, adik aku yang bongsu akan melangsungkan perkahwinan. Anehnya, aku macam tak rasa gembira nak menyambut dua hari besar tu, sebaliknya aku rasa berat hati... sangat berat hati. Tapi antara keduanya, aku lebih rasa berat hati dan gelisah sebab majlis perkahwinan tu. Bukan tak suka, jauh sekali benci... sebab aku percaya ajal maut, jodoh pertemuan, semuanya bukan ada di tangan manusia. ALLAH lebih tahu apa kehendak-NYA.

Tapi teringat kata kak long dalam kereta, masa nak pergi cari barang-barang persiapan perkahwinan adik aku, ‘Akak tak pernah expect dia akan kahwin awal’, hati aku tersentap. ‘Ami pun macam tu juga,’ balas aku perlahan. Rasa air mata nak meleleh masa tu juga. Entah... mungkin dalam bayangan kami sebagai kakak, dia masih adik kecil yang tak tahu apa-apa dan terlalu banyak bergantung harap pada adik-beradik. Tetap adik kecil yang manja dan nakal, sedangkan dia sekarang ni dah besar panjang dan insya-ALLAH dia mampu jadi ketua keluarga yang baik.

Tapi anehnya, kenapa aku dan kak long sebagai kakak macam tak nak lepaskan dia? Lebih-lebih lagi, hari Jumaat lepas (11 September) hari lahir dia, tanda usia dia dah bertambah setahun lagi. Dengan sebiji kek, kami (keluarga aku) paksa dia potong kek lepas kami nyanyi sesama sendiri, walaupun dia tak nak. Kami gagahkan diri makan kek yang aku beli kat secret recipe, walaupun perut dah penuh dan masa tangkap gambar, mata aku merah. Kenapa aku rasa sedih sangat? Patutnya aku kena senyum dengan gembiranya. Hem... hati, memang macam-macam. Apa pun, doa aku sebagai kakak untuk adik aku (Halmi), akak hanya harapkan yang baik-baik untuk, adik dan moga rahmat ALLAH, semua tertumpah atas adik...

-Danish Disuntik Virus Gedik-

September 2, 2009

Betullah… budak-budak memang cepat sungguh belajar. Entah sejak bila aku tak perasan, hanya yang aku tahu Adik Nana dan Kakak selalu bergaduh dalam kereta atau kat mana-mana. Sebijik macam aku dengan Kak Long masa dulu-dulu walaupun dalam jarak umur yang jauh, hampir 10 tahun. Antara perkataan yang selalu keluar dari bibir Adik Nana dan Kakak ialah gedik. Masing-masing saling menuding jari sambil mulut tak henti-henti sebut perkataan gedik.

Pernah aku tanya, ‘Gedik tu apa?’ Dengan muka penuh yakin Adik Nana tunjukkan gaya yang terliuk-lentok macam pokok kelapa kena tiup angin, sambil mulut berkata, ‘So what?’ beberapa kali. Aku yang tengok, sabar ajelah budak-budak ni. Bukannya ramai pun, tapi riuh macam ayam nak bertelur.

Dan entah sejak bila pula Danish Hakim yang hanya berusia 4 tahun 3 bulan tu jadi pemerhati bagi aksi Adik Nana dan Kakak, aku tak pasti. Tapi tentunya sangat lama sebab kalau naik kereta ke mana-mana, mesti nak bertiga tak kira kereta siapa dan tentunya, aku akan diheret sama oleh Danish Hakim. Dalam diam-diam budak debab tu rakamkan semua yang dia dengar kejap-kejap dalam minda.

Lalu hasilnya pagi Isnin hari tu, “Danish... Danish sayang mama ke sayang Mak Tam?” tanya kakak ipar aku. “Danish sayang Mak Tam,” jawab pula si anak bertuah. Aku yang mendengar, tentu saja senyum lebar sampai ke telinga. Danish dan mama dia, memang jarang berbaik, ada saja yang nak digaduhkan. “Sebab mama gedik...” sambung pulak Danish. Aku dah tak boleh tahan, rasa nak ketawa tergolek-golek. Danish pun dah pandai cakap gedik tu. Lama lepas tu, aku marah dia sebab boleh tahan nakal budak tu. “Mak tam gedik...” Aku pun kena gedik juga. Tapi yang paling aku tak tahan, mak aku pun dipanggil gedik gara-gara tak tengok Arissa yang tengah nangis. Dah tu... masa mak aku tegur dia main telefon awam kat Larkin masa nak hantar aku balik, dia siap cakap kat mak aku, “Nanti sampai rumah, Danish panggil nenek gedik.” Aku tepuk dahi... mak ai, cucu nenek... dahsyat gila! Mak aku cakap, “Panggil ajelah, nenek peduli apa. Main lagi, nenek tinggal Danish sorang-sorang kat sini.”

Anak buah aku sorang ni, sabar ajelah! Tapi itulah, aku tertanya-tanya, apa definisi gedik bagi budak-budak umur 4 tahun lebih dan apa maknanya gedik bagi budak-budak umur 8-9 tahun? Dan yang pasti, Danish Hakim memang sedang disuntik virus gedik sekarang ni. Cuma tak pasti, sampai bila virus mengong tu dapat bertahan dalam memori dia.