-Selepas PPMN 2009-

May 25, 2009

Perhimpunan Penulis Muda Nasional Malaysia (PPMN) merupakan perhimpunan penulis muda. PPMN 2009 diadakan sebagai suatu usaha untuk melihat perkembangan dunia kesusasteraan pada masa hadapan. Idealisme dan perjuangan sasterawan muda pada hari ini dapat dilihat sebagai satu gambaran terhadap bentuk dan wajah sastera pada masa hadapan. Matlamat PPMN 2009 ini adalah untuk mengintrospeksi perjuangan penulis muda selain membuka ruang diskusi penulis dan peminat sastera untuk mengetengahkan isu, harapan dan saranan demi masa depan penulis serta sastera Malaysia.

PPMN 2009 ini merupakan perhimpunan yang kedua setelah perhimpunan pertama diadakan di Tanjung Piai, Pontian, Johor pada tahun 2005. Bagaimana perhimpunan pertama berlalu, aku tak tahu sebab pada ketika itu aku mungkin masih ada di Johor Bahru, atau mungkin juga baru menjadi warga DBP. Tapi perhimpunan kali ini, aku diberi peluang untuk turut serta. Dan sebagai wakil Bahagian Penerbitan Sastera yang ditugaskan sebagai peserta di samping disuruh membuat perolehan manuskrip, tentu saja aku lebih banyak memerhati daripada melakukan apa-apa. Dari pandangan mata aku yang tak berapa besar ni, ada begitu banyak yang dapat aku lihat, fikirkan dan kemudian simpulkan. Sampai ke hari ini, pagi ini pun masih banyak yang aku fikirkan sebenarnya.

Sesuai dengan matlamatnya, perhimpunan itu tentu saja berjalan sesuai seperti mana yang dianjurkan. Tapi yang lebih mengujakan aku, bila melihat muka-muka baru yang masih begitu muda, muka-muka yang menjadi tempat sandaran di masa akan datang, kelihatan seperti begitu bersemangat mengikuti ceramah demi ceramah yang disampaikan. Entah apa yang ada dalam fikiran mereka, tak mungkin aku dapat tembusi. Cuma aku berharap, apa yang disampaikan akan kekal dalam simpanan ingatan mereka buat selama-lamanya dan seterusnya dapat dijadikan ilmu dan panduan sepanjang mereka menggelarkan diri mereka sebagai penulis sebab menjadi penulis, sama ada karya berat atau karya pop, selagi seseorang itu bergelar penulis yang menulis, tidak semudah yang disangkakan. Ya, berat mata memandang tapi berat lagi pundak yang memikul bebanan. Bercakap memang mudah, tapi realitinya... tidak semudah itu.

Bagi aku pula, sesi ceramah berjalan dengan agak lancar. Apalagi bila sekali-sekala isu PPSMI disentuh. Ya... siapa pun selagi bergelar Melayu, rasa-rasanya tidak akan setuju dengan PPSMI itu, bukan hanya penulis muda semata-mata. Cuma mungkin, penulis muda khususnya yang terlibat dalam PENA punya lebih ruang dan peluang untuk memperjuangkan isu hangat itu. Sebagai orang yang bukan siapa-siapa, aku tetap memberikan sokongan selagi sesuatu itu baik. Takkanlah aku sudi melihat bahasa sendiri dijajah bahasa asing, cukup-cukuplah tanah air ini pernah dijajah berpuluh-puluh tahun lalu. Tapi terus terang juga aku katakan, tidak juga semua sesi ceramah yang disampaikan mampu membuatkan aku rasa berkobar-kobar kerana ada masa-masanya mata aku terasa seperti tertutup rapat, hanya kepala tidak condong ke kanan dan ke kiri. Aku tidak juga menyalahkan pembentang atau penceramah. Mungkin aku yang bermasalah kerana sepanjang minggu lepas, tidur aku sangat terhad, atau mungkin memang topik yang disampaikan kurang menarik minat aku, atau juga... dalam diam, ada sesuatu terbuku dalam jiwa yang tak dapat dikeluarkan, maka aku mengambil keputusan untuk memekakkan telinga dan membutakan mata sebagai langkah yang selamat kerana aku tidak mengganggu sesiapa rasanya, pun tidak mahu mengganggu hati dan minda sendiri.

Entahlah... aku tak tahu. Mungkin benar kata hati aku sejak awal lagi yang aku tak patut berada di tengah-tengah mereka kerana sedikit sebanyak aku seperti dah dapat agak apa yang bakal diperkatakan. Aku tegaskan di sini, bukan tak suka sebab aku tak ada alasan untuk tak suka sesuatu yang baik, apalagi majlis ilmu yang tentu saja diberkati ALLAH. Hanya, aku merasakan yang antara aku dan mereka tak sama, bezanya bagai langit dan bumi kerana perjuangan mereka tentu saja perjuangan yang hebat. Punya matlamat sebesar gunung dan seluas lautan dalam berkarya dan menyampaikan apa yang terbuku. Dan, aku sangat menghormati dan menghargai perjuangan mereka itu sebagaimana aku mengagumi karya-karya hebat yang mereka hasilkan selama ini. Sedangkan aku, aku tak pernah berharap begitu banyak, jauh sekali meletakkan impian sejauh itu. Aku bukan pengarang hebat, tapi tak hebat mana pun aku, aku tetap mengharapkan pembaca novel-novel aku akan menjadi sangat hebat. Maksud aku, aku tetap mengharapkan mereka akan mendapat iktibar selepas membaca novel-novel aku yang tak seberapa tu, kalau pun tak banyak, sikit pun cukup. Sebabnya, aku tahu kebolehan aku setakat mana, hanya itu yang aku mampu buat untuk ketika ini, akan datang aku tak berani cakap sebab bukan ada dalam tangan aku. Mungkin juga aku akan beralih arah. Tapi yang pasti, nak menggoncang dunia sastera di Malaysia, jauh sekali di dunia... mungkin bukan aku orangnya kerana aku hanya mahu menjadi penulis biasa. Penulis kecil-kecilan yang tak mengharapkan apa-apa, kecuali supaya minat yang ada dalam diri tak terus berkubur begitu saja. Hanya yang jelas, untuk aku berdiri dan duduk setanding mereka, rasanya masih begitu jauh, walaupun sebenarnya aku tahu dengan jelas ‘nak seribu daya, tak nak seribu dalih’. Barangkali, aku dah sangat selesa sekarang ni.

Apa pun, alhamdulillah... segala-galanya sudah pun selesai dan berjalan dengan sempurna hingga ke titik akhir. Tapi sampai ke saat ini, aku masih teringat-ingat kata-kata Dr. Awang Azman Awang Pawi yang kedengarannya agak jujur bila mengatakan bahawa beliau memandang positif terhadap kewujudan karya pop. Bagi beliau, pembaca yang membaca karya pop mungkin tentu tak akan selamanya membaca karya pop kerana jalan cerita dan tema yang sama, mungkin lama-kelamaan akan beralih arah kerana perlukan sesuatu yang baru dan yang lebih mencabar. Ya... aku sangat setuju dengan pandangan beliau, setidak-tidaknya kata-kata semacam itu boleh dijadikan pembakar semangat atau daya pujuk untuk penulis seperti aku dalam memperbaiki diri dan mutu karya. Tidaklah aku terus merasakan diri kecil sekecil hama.

Untuk mereka yang telah berusaha menjayakan PPMN 2009, sekalung tahniah aku ucapkan. Semoga perhimpunan seperti itu akan diadakan dengan lebih kerap lagi pada masa-masa akan datang.

-Sebelum PPMN 2009-

May 22, 2009

Pagi dua hari lepas, bos berdiri tepi aku semata-mata nak tanya sama ada aku free atau tak hujung minggu ni. Hah... sudah! Aku dah tau mesti ada apa-apa ni. Gamaknya hanguslah cuti hujung minggu aku sedangkan dalam otak dah macam-macam aku susun rancangan untuk diri aku sendiri. Lepas tu dia terus cakap apa yang dia nak cakap dan aku terus dengar apa yang patut aku dengar. Otak cuba juga mencari alasan, tapi sebab dia masih berdiri kat sebelah aku, otak aku merajuk, terus kosong. Tak ada alasan dapat aku berikan dalam masa seberapa pantas yang mungkin. Cuma aku sempat tanya, ‘siapa lagi pergi?’ dan akhir sekali aku jawab tanpa jiwa... ‘bolehlah...’. Dalam hati terdetik juga, ‘Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Ayer keroh? Habislah cuti aku, habislah cuti aku, habislah cuti aku’.

Aku tak tau apa aktiviti dalam perhimpunan tu sebab aku tak pernah pergi. Lagipun, aku ni memang agak tak reti kalau bab-bab persatuan, kecuali memang terpaksa. Dulu pun pernah beberapa diajak masuk persatuan penulis, tapi aku tolak dengan baik. Bukan tak suka, sebab aku memang tak ada sebab pun untuk tak suka persatuan dan orang nak berpersatuan. Itu hak masing-masing sebagai individu yang sangat bagus sebenarnya. Cuma mungkin bukan untuk orang seperti aku yang lebih suka buat hal sendiri tanpa ada paksaan. Lebih daripada tu, aku yakin kalau aku jadi ahli aku tak akan jadi ahli yang baik. Confirm aku tak akan sertai apa-apa aktiviti sebab hati aku bukan di situ. Bila hati tak ada, apa-apa pun akan jadi terpaksa.

Tapi... hari ni, walaupun aku tak tahu apa-apa atau mungkin tak ada kaitan dengan aku perhimpunan tu, aku masih berharap aku akan dapat sesuatu yang baru sebagai ilmu walaupun sedikit supaya bila aku jatuh terduduk, aku mampu bangkit sendiri tanpa mengharapkan pertolongan daripada sesiapa. Sebabnya, sekuat mana pun, sebanyak mana pun dan seikhlas mana pun kasih sayang orang pada aku, akan sampai masanya lelah juga akhirnya. Kalau pun orang tak lelah, aku takut aku yang lelah sendiri, takut dengan bayang-bayang sendiri. Bimbang kalau-kalau tanpa sedar, aku jadi mua, jadi manusia pentingkan diri sendiri dan jadi manusia yang suka ambil kesempatan kerana terlalu dimanjakan.

- Selamat Ulang Tahun -

May 12, 2009

12 Mei 2009, hari ni genap Danish Hakim berumur 4 tahun. Tapi kalau dilihat pada badannya yang ‘cantik’ tu, siapa pun tak akan sangka yang dia baru cecah usia tu. Kalau berjalan, orang akan tanya, ‘Anak abang kau tu berapa tahun?’, ‘Baru 3 tahun’. Lepas tu dengan bangganya aku sengih, tahu sangat apa yang ada dalam fikiran orang yang bertanya, memanglah siapa pun tak percaya dengan keadaan fizikal dia macam tu. Tapi nak buat macam mana, dia memang agak kuat makan.

Kami selalu marah kalau dia makan banyak sangat, tapi kami lagi marah kalau dia tak makan. Mula nak tertanya-tanya, ‘Danish tu dah makan? Tak nampak pun dia makan hari ni?’. Tu dialog biasa, macam manalah budak tu nak kurus. ‘Alah... nanti kuruslah tu,’ kata mak. Entah hati siapa yang mak nak pujuk aku sendiri tak tahu...

Semalam entah angin apa, dia telefon aku...
“Hari ni hari jadi Danish,” kata Danish Hakim.
“Esoklah.” Aku betulkan sebab memang dah salah. “Nak potong kek eh?”
“Ya, kat rumah nenek.” Dia balas.
Itu pun dia siap ugut tak nak potong kek yang dibeli, kalau cuma ada dia, mama dan papa dia sebabnya memang abang aku cadang macam tu, kat rumah diaorang. Lagipun budak ni memang ekstrem dengan nenek dan kampung dia tu. Hari-hari kata nak balik rumah nenek dan bila balik, tak nak balik rumah sendiri. Hem... budak-budak sekarang dah pandai ugut mak bapa ya?
“Tak ajak mak tam ke potong kek?” Aku sambung balik. Saja usik dia, aku pun bukannya ada sayap boleh terbang-terbang sesuka hati.
“Tak! Mak tam lokek.” Danish Hakim jawab macam tu.
Aku tepuk dahi. “Bertuah punya budak!” Aku dah menjerit. Ada ke patut dia cakap aku lokek? Selama ni, pernah ke aku macam tu? Cakap aje nak apa, cepat aje aku capai kalau aku ada kat tempat tu. Dahlah dia selalu pukul curi kat aku, tau-tau tangan dia dah sampai kat muka aku, tau-tau tangan dia yang comel tu dah sampai kat belakang aku. Memanglah budak tu suka buli mak cik dia. Sabar ajelah...
“Boleh mak tam nyanyikan lagu selamat hari jadi?”
“Boleh!”
“Mak tam nyanyi eh?” Aku tanya sekali lagi. Dia tak kasi pun, aku tetap akan nyanyi juga.
“Boleh blah!”

Hampeh betul budak tu, tak nak kasi aku tunjuk bakat langsung, tapi aku nyanyi juga macam yang aku nak sebab tak boleh ada sama-sama dengan dia dan tak boleh tengok dia hari ni (maksudnya semalam). Tiga kali aku nyanyi, tak sempat ulang kali keempat, dia dah ketawa besar. Untuk Danish Hakim yang aku sayang... “SELAMAT ULANG TAHUN KE-4”. Semoga Danish panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan jadi anak soleh yang mampu menjadi penyeri di mata dan penyejuk di hati mama dan papa.

- Selepas 17 Hari -

May 8, 2009

Cerita basi? Cerita luput? Hem... basi hanya untuk makanan, luput pula untuk cinta, bak kata Kak Lynn, bukan untuk cerita dan kenangan. Jadi, biarlah aku abadikan segala-galanya di sini walaupun dah 17 hari aku balik daripada Sabah. Kali kedua pergi Sabah untuk tahun ni, lepas kali pertama yang dah tinggalkan satu kenangan yang tak mungkin aku lupa sampai bila-bila. N95... jodoh tak panjang dan betullah, bila kita terlalu sayangkan sesuatu, ALLAH uji kita dengan mengambil sesuatu itu. Aku percaya kenyataan itu sebab...

Berbalik pada cerita Sabah tadi, ya... pada 17 April yang lepas, seperti yang dijanjikan, aku, Shanika dan kawan-kawannya yang langsung aku tak kenal bertolak ke Tawau. Kami bermalam sehari di sana sebelum pagi-pagi esoknya, 18 April mula bergerak ke Semporna untuk menuju ke Pulau Mabul. Perjalanan dengan bot yang memakan masa tak sampai satu jam, buat aku rasa sangat selesa dan syukur sebab berpeluang menikmati saat-saat manis macam ni. Tapi dalam hati, tak seorang pun tahu hati di dalam berdetak kencang. Bukan sebab aku takut naik bot, tak mungkin takut sebab aku anak nelayan, bot, air sungai, air laut dan ombak dah terlalu biasa aku harung. Cumanya lutut aku, kanan dan kiri... bolehkah berfungsi dengan baik? Boleh lagi ke berenang lepas selalu kram tengah-tengah malam? Tapi dalam pada banyak berfikir, sampai juga ke destinasi yang dituju.

Pulau Mabul... apa yang boleh aku simpulkan? Tentu sekali satu tempat yang sangat cantik dengan air biru yang jernih buat hati terasa bagaikan ditarik-tarik. Pendek kata, jatuh cinta pandang pertama aku ni. Alangkah cantiknya ciptaan TUHAN yang tentu saja manusia tak mampu nak buat.

Aktiviti sepanjang di sana? Tentu saja snorkeling sepanjang hari. Pertama pergi snorkeling, tak berapa seronok bagi aku atas sebab-sebab yang tak berapa penting. Aku hanya turun sekejap aje. Tapi sebenarnya, dalam hati aku terasa berat hati. Yang sebetulnya, pun tak ada orang tahu, saat-saat akhir nak pergi, aku hampir-hampir saja nak batalkan percutian kali ni atas alasan kerja opis yang agak banyak masa tu, aku agak stres, aku tak buat apa-apa persediaan dan minggu tu juga sepupu yang pernah rapat dengan aku masa kecik melangsungkan perkahwinan. Tapi mengenangkan duit dan melayang banyak, aku gagahkan juga walaupun hati kat dalam kata, ‘tidak’.

19 April, hari kedua snorkeling... hati dah boleh berkompromi sikit. Rasa berat hati dan tak seronok makin lama, makin menjauh. Aku cuba gunakan masa yang ada dengan sepenuhnya. Lutut pun nampaknya okey aje, dan sampai ke hari ni pun macam dah okey sebab dah tak sakit lagi.

20 April, hari ketiga, kali ni snorkeling kat Pulau Sipadan. Bayangkan seluas-luas alam, cuma aku dengan Shanika aje yang snorkeling di situ (pergi ke situ ada jadual, tak boleh pergi ramai-ramai), divers dah lama hilang ditelan perut laut yang dalamnya entah berapa meter. Tapi adalah yang awasi kami berdua. Tuhan... Sipadan jauh lebih cantik, ikan-ikan dan coral buat aku terasa macam tak puas mata pandang. Nak tangkap dan kejar, tapi mustahil. Tapi memang cantik sangat. Buat rasa kagum aku bertambah-tambah.

21 April, hari terakhir di Pulau Mabul, hari ni kecuali group akhir ke Pulau Sipadan, yang lain-lain semuanya tak turun ke laut. Aku pun dan tak sanggup sebab aku rasa dah letih sangat dan muka pun dah hitam terbakar. Pagi tu, lepas hajat nak tengok sunrise tak kesampaian gara-gara hujan lebat sampai awal pagi, aku, Shanika, Des, Reza, Ainul dan Ha pergi pusing kampung. Kampung tu kecik aje, tapi sebab berjalan dalam panas, terasa jauh. Kiranya, percutian aku lengkap, darat laut habis diredah. Dalam pukul 2.oo, kami bertolak meninggalkan Pulau Mabul dengan seribu satu kenangan yang tak akan pudar dari ingatan sampai bila-bila. Ya... aku seronok walaupun pada awalnya, ada pelbagai rasa bergolak hebat dalam dada. Kalau ada rezeki, insya-ALLAH... satu hari nanti aku akan sampai sekali lagi. Kalau ada rezeki...







- 13 Hari -

May 5, 2009


Hari ni genap 13 hari Hanya DIA Tahu diterbitkan. Setakat ni aku dah terima beberapa komen daripada pembaca. Apa yang aku rasa? Apa perasaan aku saat ni? Mungkin dah agak lega dibandingkan dengan hari pertama novel tu keluar masa Pesta Buku yang baru berakhir (sekarang mungkin novel tu masih belum ada di pasaran lagi). Masa tu rasa takut, seram sejuk dan macam-macam rasa ada, manalah tahu kalau-kalau kali ni aku akan mengecewakan pembaca. Lebih takut lagi kalau novel kali ni dibandingkan dengan novel-novel sebelum ni. Padahal... yang aku takutkan tu, sama ada nak atau tak, memang akan berlaku sebab memang hak pembaca untuk menilai dan seterusnya buat kesimpulan sendiri. Sama aje keadaannya bila aku baca novel orang lain, cepat saja nak buat perbandingan.

Komen yang aku terima pula? Setakat ini masih positif walaupun turut diselitkan negatifnya sama, cumanya setakat ni masih boleh melegakan perasaan aku, masih boleh buat aku tarik nafas panjang-panjang dan kemudiannya lepaskan perlahan-lahan. Lepas ni, masih belum tahu macam mana lagi, walaupun sebagai penulis aku masih dan akan tetap berharap novel kali ni diterima. Kalau pun masih ada yang kurang, aku akan berusaha pada masa-masa akan datang. Hanya yang pasti, nak memuaskan hati semua orang sebenarnya tak semudah yang disangka. Mahu atau tak, mesti ada yang menerima dan menolak, mesti ada yang suka dan tidak. Tapi mana tau, mungkin boleh diusahakan ke arah itu kalau aku bekerja keras.

Apa pun, kalau masih ada yang hendak memberi komen atau pandangan supaya aku dapat terus bergerak ke depan, depan dan depan, bukannya ke belakang, belakang dan terus belakang, boleh hantar kat email ni, aleyaaneesa@yahoo.com.my. Tapi kalau boleh, biarlah komen atau kritikan yang membina, bertujuan untuk memperbaiki lagi mutu tulisan aku sebab sampai ke tahap ini, aku masih dalam proses belajar dan rasanya akan terus belajar sampai bila-bila. Segala sokongan yang diberikan selama ini, Hanya DIA Tahu... aku sangat menghargainya dan aku akan lebih menghargainya lagi kalau sokongan itu akan berterusan. Sekian...

*** Teringat kata-kata seseorang yang sangat dekat denganku bila aku luahkan rasa bimbang. Katanya, 'Bagi penulis yang dah ada beberapa karya, komen dan kritikan itu kan hanya makanan tambahan'. Benarkah? Apa pun, terima kasih sis... sokongan awk pada kte tak pernah padam kan? Terima kasih juga untuk kain cantik tu, terima kasih daun keladi! ***