- Moga Lancar -

March 13, 2009

Pergi Cherating? Hem... ikutkan hati memang aku dah lama nak pergi sana sebab tak pernah pergi dan memang teringin sangat-sangat Dah banyak kali ajak Kak Long, jawapannya hanya ‘nantilah dulu, nantilah dulu’. Lama-lama aku pun naik malas, bagi aku, ada rezeki tentu tak akan ke mana-mana. Lagipun, bukannya jauh mana pun Cherating tu.

Tapi kata orang, rezeki manusia memang tak siap yang tahu sebab bukan kerja kita. Tiba-tiba nama aku naik untuk jadi urus setia Bengkel Perolehan Manuskrip Karya Kreatif Penulis Pahang. Anehnya, bila peluang datang bergolek macam buah nangka jatuh, aku rasa lain macam. Lebih dari itu, langsung tak gembira dan terasa macam satu beban diletakkan atas bahu aku. Berat dan sangat memberatkan! Pendek kata, aku tiba-tiba saja lebih memilih untuk tak pergi ke Cherating tu. Atau dengan kata lain, ‘Tak pergi pun tak apa’. Teruknya aku...

Tak sukakah aku? Bukan, bukan itu sebabnya. Mungkin peluang datang tak kena pada masanya jadi aku rasa seperti terpaksa. Bukan masa-masa macam ni yang aku harapkan sebab ada banyak benda yang aku nak buat dan kena buat dalam masa terdekat ni. Jadi aku lebih memilih untuk tak ke mana-mana walaupun hanya untuk tempoh 3 hari saja. Akhir-akhir ni masa bagi aku memang sangat berharga. Dan sebenarnya, aku sangat berharap ada orang lain yang akan ambil alih tempat aku, benar-benar berharap sebenarnya. Malangnya, tak ada dan tak akan ada orang pun yang akan gantikan aku. Malah, sampai semalam pun rasa tak senang dan berat dalam hati aku masih tebal walaupun semua dokumen, semua peralatan, tempahan hotel dan semua yang berkaitan dah aku uruskan. Dah masukkan dalam kotak dah pun. Harap-harap tak ada benda yang tertinggal lagi. Karang tak fasal-fasal aku kena jalan kaki balik untuk ambil barang yang tertinggal tu.

Hari ni pula, rasanya aku dah agak stabil sikit berbanding hari-hari sebelumnya termasuk semalam. Rasa yang ada pun bagaikan beransur-ansur ditarik keluar entah oleh apa sebaik saja aku bangun daripada tidur. Syukurlah! Keluar aje dari rumah... hujan turun renyai-renyai. Dalam hati aku sangat berharap, biarlah segala-galanya berjalan dengan lancar. Macam mana aku, Nadia dan Encik Mat selamat pergi, macam tu jugalah selamat pulang. Hasil yang kami harapkan daripada bengkel tersebut, biarlah berbaloi. Kali ni aku harap, tak akan ada masalah yang timbul. Dua kali menguruskan bengkel tahun lepas, aku banyak belajar. Hendaknya, benda yang sama tak akan berulang lagi.

- Jatuh & Bangun -

March 12, 2009

Dalam hidup, kita sering tak tahu apa yang akan berlaku di hari depan sebab hari depan memang bukan ada di tangan manusia. Tak semestinya juga, apa yang kita ada hari ni, akan jadi milik kita sampai bila-bila. Boleh jadi saja, apa yang kita ada kini, dibawa pergi dalam sekelip mata. Boleh jadi juga, hari ni tak ada, esok lusa akan ada. Barang kali juga, hari ni tak ada, esok tak ada, lusa tak ada dan sampai bila-bila pun tak akan ada kerana memangnya itu yang tertulis.

Bertemu dengan Net, seorang kawan yang sama-sama belajar di MSAB (EC) dan UPM di Plaza Angsana dan Kak Lin yang sama-sama kerja kat MPJBT di Hutan Bandar MPJBT hujung minggu lepas secara tak dirancang, aku sedar banyak benda. Bila masing-masing sudah saling bertukar-tukar cerita, sudahnya mereka mengatakan pada aku, kalau kisah hidup mereka dijadikan novel, entah berapa buah yang dapat. Dan, aku sebagai penulis hanya boleh menggeleng dalam senyuman panjang. Siapa kata hendak menyiapkan sebuah novel itu seenteng mereka bercerita? Atau, semudah membaca patah-patah perkataan di dada-dada kertas? Kalau semudah itu, mungkin sudah berpuluh-puluh novel yang aku hasilkan sekarang ini.

Berbalik pada kisah mereka, kesimpulan yang aku dapat... kisah aku dan mereka nyata tak begitu banyak beza, ada begitu banyak persamaan dan tentunya sama juga dengan orang lain yang masih bertahan di luar sana. Aku jatuh, aku bangun, jatuh lagi, bangun semula, kemudian jatuh bangun, jatuh bangun dan begitulah seterusnya sampai ada masa-masanya aku jadi lali sendiri. Lebih-lebih lagi sejak dua bulan kebelakangan ini. Sakit dan sangat menyakitkan rasanya! Benarlah kata orang, benda atau cerita yang hanya disimpan sendiri dan tak mampu diluahkan pada orang lain walaupun terasa nak sangat luahkan, rasanya sangat menyeksakan. Bukankah sudah menjadi fitrah manusia, saling berkongsi sesama sendiri? Cumanya, bagi aku... bukan semua benda harus dihebahkan pada orang lain. Sesetengah hal, perlu juga disimpan demi diri sendiri.

Tapi sampai ke hari ini, aku, Net, Kak Lin dan sesiapa saja masih dapat bertahan. Terus juga bertatih sambil sekali-sekala berlari-lari anak dek buruan masa yang tak pernah menunggu manusia walaupun sedetik. Apa pun, kepada yang masih sudi menjengah... terima kasih tidak terhingga.